
JOHOR BAHRU – Kerajaan berusaha mengurangkan kegiatan ‘black economy’ yang berada pada tahap 30 peratus ketika ini kepada 15 peratus menerusi langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, ‘black economy’ melibatkan kegiatan seperti penyeludupan keluar barangan subsidi dan aktiviti penipuan cukai serta jenayah perdagangan termasuk membuat pengisytiharan palsu.
“Kita mahu mengurangkan kegiatan ‘black economy’ dalam negara kepada 15 peratus seperti di negara-negara maju. Kegiatan ‘black economy’ menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setahun,” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Kastam Johor di sini hari ini.
Beliau tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian tepat yang ditanggung oleh negara akibat kegiatan haram itu.
“Jika hanya 10 peratus (subsidi petrol dan diesel) menjadi mangsa kegiatan haram itu, kerugian yang ditanggung oleh negara ialah sebanyak RM2.48 bilion, apa tah lagi jika 30 peratus daripada RM24.8 bilion subsidi petrol dan diesel kerajaan,” katanya.
Menurutnya kejayaan mengurangkan peratusan kegiatan itu akan memastikan lebih banyak hasil ekonomi negara disalurkan untuk kepentingan rakyat.
“Kita (Kastam) kena lebih kreatif daripada mereka (yang terlibat dengan kegiatan haram). Kita perlu kreatif untuk mendapatkan hasil negara,” katanya dan menambah, langkah memasang mesin pengimbas di pintu-pintu masuk negara merupakan langkah positif dalam mengurangkan kegiatan seperti itu.
Sementara itu, Ahmad berkata Kastam yakin memenui sasaran kutipan hasil sebanyak RM34.4 bilion tahun ini berbanding RM32.3 bilion tahun lepas.
Sehingga Ogos ini katanya, Kastam berjaya mengutip sebanyak RM24.3 bilion, peningkatan daripada RM23.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata sehingga Ogos lepas, Kastam merampas pelbagai barangan bernilai RM287 juta manakala sepanjang tahun lepas, agensi itu berjaya merampas barangan bernilai RM602 juta. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar